Khamis, 24 Julai 2014

Bonus Khas Ramadan

Ramadhan dah hampir ke penghujung dan akan meninggalkan kita, hanya tiga hari lagi. Hari ini dah memasuki hari ke 26 Ramdhan 1435H. Hati ini terlalu sedih..amat-amat sedih dan pilu untuk berpisah sehingga Ramadhan yang akan datang. Apakah kita, masih sempat pada masa Ramadhan yang akan datang?.  Jadi, ambilah kesempatan yang sebaik mungkin Ramadhan yang masih berbaki 3 hari lagi....hayatilah ramadhan... dan tingkatkan ibadat kita denga apa cara sekalipun....demi mendapat ganjaran pahala atau rahmat ALLAH. Kejarlah!!!..kejarlah!!!..kejarlah reda ALLAH..lebih-lebih lagi malam lailatulqadar.... malam ini (Khamis malam jumaat) 25 Ramadhan dan 29 Ramadhan (Sabtu malam ahad ). 
Tinggalkan lah sementara waktu batang-batang pancing kita....kejar redha ALLAH untuk bekalan akhirat. ALLAH MAHA BESAR.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
" Umatku diberikan lima perkara yang belum pernah diberikan pada umat-umat terdahulu ketika Ramadan iaitu:
Bonus 1: Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi daripada kasturi pada sisi Allah s.w.t.

Bonus 2: Para malaikat beristighfar untuk mereka dari terbit fajar sehingga waktu berbuka puasa.

Bonus 3:  Allah memperindahkan syurga-Nya setiap hari dan berfirman: "Hampir-hampir hamba-
               hamba-Ku yang soleh dicampakkan pelbagai kesukaran dan penderitaan lalu kembali
               kepadamu."(Mereka sanggup bersusah-payah di dunia demi kebahagiaan hidup di
               dunia dan akhirat.

Bonus 4: Syaitan-syaitan dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan lain Ramadan.

Bonus 5: Manusia akan mendapat keampunan pada akhir malam (orang yang beramal akan
              disempurnakan pahala amalan mereka setelah selesai mengerjakannya.
              
              Mengenai bonus kelima ini, ada sahabat yang bertanya kepada Baginda s.a.w:
              "Ya Rasulullah, apakah itu berlaku pada malam Lailatulqadar?"
              Baginda menjawab: "Bukan, tetapi pelaku-pelaku kebaikan akan disempurnakan
              pahalanya setelah menyelesaikan amalnya."                                   
                                                                                                                     
 (Riwayat Ahmad)

Isnin, 21 Julai 2014

Ikan Patin Sungai Dengkil, Selangor

Salam sejahtera pembaca blog memerang sungai.

Dalam bulan puasa ni ada turun ke Sg Dengkil pada 19.07.2014, pada hari sabtu minggu lepas. Maklum hari cuti!!!..dari tidak ada apa-apa nak dibuat, selepas balik surau. Daripada tidur baik juga pergi memancing. Jadi memerang terjah secara solo, berumpankan roti biasa dan bancuhan rahsia plus perisa pandan dan strawbery. Sebenar bancuhan yang masih berbaki selepas memancing malam di Seri Bayu Tekala pada 12 Julai 2014, Sabtu malam minggu. Hasilnya tak lah besar sangat pun..seekor ikan patin dara dalam 4.30 kg..cam tu. Lagi pun niat nak test power umpan je.....terjah sungai tu dalam 9.30 pagi hingga 12.00 tgh...lepas tu balik rumah...solat dan tidur.

Ikan Patin Sungai Dengkil, Selangor
Sebenarnya ikan patin di Sg.Dengkil boleh dikatakan banyak di lokasi-lokasi dikenal pasti. Umpan roti dibawa tidak begitu berkesan untuk menarik ikan patin memakan umpan. Ada sesiapa berminat perlu membuat bancuhan umpan lebih kepada masam dan hanyir seperti menggunakan perut ayam yang di blander dan ambil air tapisan tuuu...untuk bancuhan roti. Selamat mencuba...
Wasallam.

Khamis, 17 Julai 2014

10 Malam Terakhir Ramadhan

Amalan 10 Malam Terakhir Ramadhan

Hujung minggu ini, iaitu Hari Jumaat malam sabtu kita telah memasuki fasa 10 malam terakhir ramadhan. Antara amalan Nabi S.A.W apabila mendekati 10 malam terakhir Ramadan adalah:
1. Melakukan qiamullail;
2. Menggerakkan keluarga untuk solat malam pada malam itu;
3. Tidak mendatangi isteri (daripada melakukan jimak);
4. Mandi antara Maghrib dan Isyak;
5. Iktikaf dalam masjid.
Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak sentiasa melakukan ibadat pada 10 yang terakhir Ramadan dengan cara yang tidak pernah dilakukan pada waktu selainnya. (Riwayat Muslim)
Dalam hadis ini nabi memberikan penumpuan khusus kepada malam terakhir Ramadan untuk merebut peluang mendapat lailatul qadar yang disifatkan Allah dalam ayat ke-3 surah al-Qadar sebagai: “Lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan.”
Demikian pula dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, maksudnya: “Sesiapa mengerjakan ibadah pada lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya, diampunkan dosanya yang lalu”.
Diriwayatkan al-Tabarani daripada Ali bahawa Nabi SAW mengejutkan keluarganya pada 10 hari terakhir di kalangan yang kecil dan besar dan yang dewasa yang mampu melakukan solat.
Dalam sesetengah riwayat apa yang sangat dituntut ke atas Muslim ialah menggerakkan keluarga pada malam ganjil seperti 21, 23, 25, 27 dan 29 kerana mengharapkan lailatulqadar. Pada malam pilihan seperti ini, Nabi SAW menurut riwayat Anas dan Aisyah, menjauhi hubungan suami isteri untuk berada di masjid bertujuan melakukan iktikaf sama ada mendirikan solat sunat, beristighfar dan sebagainya.
Persiapan Nabi SAW untuk menghadapi iktikaf juga harus kita contohi. Ibn Abi Ashim meriwayatkan daripada Abu Huzaifah Nabi SAW pernah mandi sebelum beriktikaf dengan dilindungi Abu Huzaifah. Kemudian Abu Huzaifah mandi dan Baginda menjadi dindingnya. Inilah sebabnya sahabat gemar mandi setiap malam antara Maghrib dan Isyak sebelum ke masjid untuk iktikaf.
Ulama Islam berbeza pandangan mengenai pelaksanaan qiamullail antara menghidupkan keseluruhan malam ataupun sebahagiannya saja. Abu Jakfar Muhammad Ali mengatakan Rasulullah menghidupkan sebahagian daripada malam, bukan sepanjang malam. Demikian juga Imam al-Syafi’iy dan amal ahli Madinah menyokong pendapat itu.
Ini berpandukan hadis riwayat Aisyah Nabi tidak pernah solat malam hingga ke Subuh tanpa berehat. Sesetengah ulama meringankan persoalan qiam sehingga mengatakan seseorang dianggap melakukan qiamullail disebabkan kesungguhannya bersolat jemaah Isyak dan Subuh. Ini berdasarkan riwayat dalam al-Muwatthak daripada Ibn Musayyib yang berkata, maksudnya: “Sesiapa yang menghadiri solat Isyak dengan berjemaah, sesungguhnya dia memperoleh bahagiannya daripada malam itu.”
Dalam riwayat daripada Imam al-Syafi’iy menyatakan: “Sesiapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah, dia mengambil bahagiannya daripada bulan itu.” Ibn Abi Dunya daripada Abu Jakfar Muhammad Ali meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang datang kepadanya Ramadan, lalu dia berpuasa siangnya, solat Tarawih pada malamnya, menahan matanya daripada melihat perkara haram, menjaga kemaluannya, lidah dan tangannya dan sentiasa berusaha untuk solat berjemaah dan Jumaat, maka dia sudah memperoleh lailatulqadar dan pahala Allah SWT yang tidak ternilai harganya.”
Ringkasnya sekurang-kurang usaha membangunkan malam ataupun qiamullail untuk mendapat kelebihan lailatulqadar ialah melakukan solat Isyak dan subuh berjemaah bagi lelaki.
Bagi wanita khasnya yang uzur kerana haid dan nifas, masih mampu memperoleh lailatulqadar dengan melakukan ketaatan seperti beristighfar, berzikir, berselawat, mempertingkatkan sedekah dan mengamalkan doa yang dianjurkan Nabi kepada Aisyah iaitu: “Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pengampun, Engkau gemar memberikan keampunan, maka ampunkan aku.”
Dalam tafsir Hasyiah al-Sawiy ‘alal Jalalain, al-Sawi berkata, doa paling penting yang dituntut ke atas kita mengamalkannya adalah memohon keampunan dan keafiatan seperti disarankan Nabi SAW.
Dalam zikir, kita mengucapkan: “Tiada Tuhan melainkan Allah yang sangat besar kemurahan-Nya, lagi sangat pemurah. Maha suci Allah SWT, yang memiliki tujuh petala langit dan Tuhan yang memiliki Arasy yang maha agung (tiga kali), maka sesungguhnya dia sudah mendapatkan lailatul qadar.”
Selain itu, sebagai tambahan bagi lelaki dan perempuan yang inginkan lailatulqadar terdapat amaran tegas daripada Nabi SAW seperti riwayat Ibn Abbas bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan memerhatikan orang beriman daripada kalangan umat Nabi Muhammad, lalu dimaafkan bagi mereka dan dirahmati melainkan empat golongan iaitu peminum arak, penderhaka ibu bapa, orang selalu bertengkar dan orang memutuskan silaturahim.”

wasallam.

Selasa, 8 Julai 2014

Bagun Dan Bersujud Ditengah Malam


Saidina Abu Bakar al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat penyedih. Apabila beliau membaca ayat Allah, air matanya tidak dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh.

Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan. Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah kelak.

Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersih daripada kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya.

Rasulullah SAW suatu ketika bertemu sahabat yang tertawa sambil bergurau.

Baginda SAW bersabda maksudnya: "Jika kamu semua mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit tertawa."
 


Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya.

a) Dia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya. Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli syurga?
Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri?
Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah

Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan- Nya.


b) Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama di alam kubur.

Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan? Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit.

Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan amat penting. Persoalan yang bukan senda gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan.

Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada kepedihan seksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik?

Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan, di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini.

Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal salih di dunia. Mayat itu menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika bersimpuh di atas bumi?


c) Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan, menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.

Bilakah saat dan ketika paling tepat untuk kita menangis supaya lembut hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti? Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan zikrullah juga istighfar.

Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta menjadi

ikutan orang salih yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini. Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan zikrullah.

Wasallam.